Zaim, Ismanira tidak mengaku bersalah

created by photogrid

PETALING JAYA – Ibu bapa kepada Zayn Rayyan Abdul Matiin mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis atas satu pertuduhan mengabaikan kanak-kanak autism berusia enam tahun itu pada Disember tahun lalu.

Zaim Ikhwan Zahari yang memakai baju T berwarna hitam dan Ismanira Abdul Manaf berbaju merah membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim, Dr Syahliza Warnoh.

Mengikut pertuduhan, pasangan suami isteri yang berusia 29 tahun itu, didakwa bersama-sama sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap anaknya, Zayn Rayyan Abdul Matiin, 6, telah mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal.

Kesalahan didakwa dilakukan di sekitar jalan PJU Damansara Damai di sini pada jam 12 tengah hari, 5 Disember hingga jam 9.55 malam, 6 Disember.

Dalam kes ini, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ku Hayati Ku Haron manakala pembelaan oleh peguam, Fahmi Abd Moin dan Mahmud Jumaat.

Pada 6 Disember 2023, Zayn Rayyan ditemui meninggal dunia di anak sungai, berhampiran kawasan Apartmen Idaman, Damansara Damai pada jam 10 malam.

Mayat mangsa ditemui oleh kumpulan penduduk yang menjalankan operasi mencarinya.

Mangsa sebelum ini dilaporkan hilang di kawasan kediamannya sebelum ditemui terbaring di sungai yang jaraknya kira-kira 200meter dari blok kediamannya.

Polis mengesahkan mangsa dipercayai dibunuh susulan hasil bedah siasat menemukan kesan kecederaan pada leher dan tubuh kanak-kanak yang mempunyai kaitan akibat perbuatan jenayah.

Susulan itu, ibu bapa kanak-kanak malang tersebut, ditahan reman selama 13 hari bermula 1 Jun lalu bagi membantu siasatan.

Sumber : Sinarharian

Please wait while you are redirected...or Click Here if you do not want to wait.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*